P.RAMLEE DAN TEGURAN IMAM MASJID NEGARA
*Sebarang ambilan daripada blog ini hendaklah diberikan kredit
Pada 14 Oktober 2021, saya diundang sebagai panel forum Bicara Ilmu yang mengundang saya khusus untuk memperkatakan tentang unsur didikan dan kritikan dalam filem P. Ramlee. Moderator forum, Puan Azian Mohamed Isa telah memperkenalkan saya sebagai ahli akademik dan pengkaji P. Ramlee. Sebetulnya beberapa tahun sebelum ini, ada sedikit luka yang ingin saya kongsi. Semasa dilantik sebagai moderator forum Bujang Lapok 60 Tahun, boleh pula seorang bos ni kata saya dilantik jadi moderator sebab di fakulti saya ramai orang tua. Jadi saya pandai layan orang tualah kononnya. Sikit pun tak nak beri kredit pada perjalanan kesarjanaan saya. Keh keh.
Ok,balik kepada forum Bicara Ilmu semula. Soalan-soalan yang saya terima bukanlah asing kepada saya. Contohnya, soalan tentang latar belakang P. Ramlee, bagaimana beliau mendapat ilham berkarya, apakah nilai didikan dan kritikan dalam filem-filem beliau dan bagaimana mula tumbuh minat saya untuk mengkaji P. Ramlee. Ada beberapa hujah yang pernah saya sampaikan dan saya ulang kembali pada forum tersebut, ada juga yang saya perbaharui sudut pandangannya. Tetapi untuk entri kali ini, saya akan fokus kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 19 Julai 1970, yang bertajuk ‘Adegan Sex: Filem2 Melayu dikecham ‘tidak adil’. Laporan akhbar tersebut memetik nama P. Ramlee dan nama Imam Besar Masjid Negara. Intipati laporan tersebut ialah Imam Besar Masjid Negara menyatakan bahawa babak-babak berahi dalam filem Melayu ketika itu boleh membawa kehancuran kepada masyarakat dan P. Ramlee selaku salah seorang pengarah filem Melayu mengeluarkan pandangannya terhadap kenyataan tersebut.
Berdasarkan laporan akhbar tersebut, kita mendapat beberapa maklumat berikut:
- Bukti bertulis mengenai pendirian P. Ramlee terhadap isu tersebut, iaitu tuduhan tersebut dianggap berat sebelah kerana tinjauan yang serupa tidak dilakukan ke atas filem-filem yang dibawa masuk dari luar negara.
- Gambaran terhadap penapisan filem tempatan dan luar negara
- Dwistandard yang sudah ada sejak dahulu lagi.
Namun, yang menarik perhatian saya ialah sikap P. Ramlee yang matang dan terbuka seperti yang digambarkan dalam akhbar tersebut. Beliau mengucapkan terima kasih dan meminta maaf. Beliau turut menyebut bahawa filem Melayu sudah diperkatakan di masjid. Maknanya filem sudah sampai kepada pelbagai golongan masyarakat, yang secara tidak langsung menggambarkan bahawa impak beliau sebagai karyawan filem terhadap sosiobudaya tempatan bukanlah kecil Sikapnya tentang kesaksamaan itu ada betulnya. Jika mahu filem Melayu ‘bersih dan baik’, maka filem dari luar juga harus dibawa masuk yang bersih dan baik sahaja. Sikapnya lebih realistik dan beliau sangat arif membaca kehendak masyarakatnya. Wajarlah beliau digelar seniman rakyat, kerana banyak karyanya yang dekat dengan nadi masyarakat dan tidak syok sendiri.
Saya juga sedang mencari bukti bertulis; apakah filem Dr. Rushdi dan Gelora arahan beliau merupakan ‘tindak balas’ terhadap teguran yang dianggapnya berat sebelah itu?
”Ni kacang hantu mana kau bawak balik ni?”
”Ni bukan kacang hantu,pak! Ni kacang goreng!”
(Keluarga 69)