Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

ADEGAN MEMINANG DALAM FILEM P. RAMLEE

*Sebarang ambilan daripada  blog ini hendaklah diberikan kredit.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2022. Dah nak masuk bulan Februari, baru nak ucap selamat gitu! Tolonglah doakan saya rajin dan istiqamah mengemaskini blog ini. Hehe.

Meminang, melamar, merisik, bertunang, berkahwin adalah titik yang penting dalam kehidupan. Ritual meminang dalam filem-filem P. Ramlee memang menarik untuk diteliti. P. Ramlee memahami masyarakatnya; meminang untuk mendapatkan persetujuan keluarga bagi langkah seterusnya yang dituntut oleh agama, dilaksanakan mengikut kesantunan tempatan. Kali ini saya ingin menyorot pelbagai ragam watak dan pelbagai ragam meminang dalam beberapa buah filem komedi P. Ramlee.

  1. Bujang Lapok (1957): Meminang dilakukan tanpa wakil lelaki/father figure. Cik Normah seorang wanita terhormat dan berkedudukan yang dipercayai oleh masyarakat setempat menjadi jurucakap untuk meminang Zaiton bagi pihak Sudin. Mak Sudin dan Mak Zaiton juga ibu tunggal. Perhatikan bahawa dalam filem ini memang tiada father figure. Watak wanitalah yang menentukan jalan cerita serta memainkan peranan penting dalam kehidupan lelaki. Watak-watak lelakinya masih bergelut membina kehidupan. Sudin bergelut dengan isu kelas untuk berkahwin dan amat berharap kepada peranan ibunya dan Cik Normah untuk bergerak ke langkah seterusnya. Ramlee juga bergelut sebagai seorang jurujual dan sering dikecewakan oleh wanita. Namun beliau menunjukkan ketegasannya apabila berdepan dengan bapa angkat Safiah yang telah melakukan sesuatu yang sangat terkutuk dalam masyarakat. Aziz juga selepas menyelamatkan Safiah yang cuba membunuh diri, berharap kepada Cik Normah untuk menjaga Safiah.

  1. Musang Berjanggut (1959): Watak bapa Puspawangi, Kemenyan hanya menggunakan kiasan untuk menolak pinangan Megat Alang Sengketa. Beliau terus menolak tanpa perlu bertanya kepada anak isterinya.Malah tidak menjawab pun soalan isterinya yang bertanya siapa yang datang beramai-ramai ke rumah mereka. Bapa mempunyai firasat yang tinggi bahawa pihak yang melamar itu tidak sesuai untuk anaknya, lalu terungkaplah dialog ‘’Datuk keturunan ayam Belanda, kita keturunan itik serati. Tak boleh kahwin!’’ Filem ini selalu memfokuskan kepada Puspawangi yang bijak, sedangkan ayahnya juga perlu diberi kredit. Anak bijak, tengoklah bagaimana orang tuanya.
  2. Labu Labi (1961) : Tuan Manager lakonan Sharif Dol ditugaskan oleh bosnya, Haji Labu untuk meminang Manisah, anak Haji Bakhil. Beliau membawa rombongan meminang yang besar, yang disebut sebagai ‘angkatan’. Ini sesuai dengan kedudukan Labu sebagai orang kaya. Haji Bakhil bersetuju dahulu, baru beliau bertanya siapa calon menantu. Filem ini menunjukkan kaedah meminang cara tradisional; menggunakan wakil dan tidak datang sendiri ke rumah calon isteri. Wakil yang dilantik hanya membawa gambar orang yang empunya hasrat. Tapi bila Haji Bakhil tengok gambar ‘bekas orang gajian’, sudah tentulah dia menolak hingga keluar dialog ‘’Cis! He koyak my gambar!’’

  1. Tiga Abdul (1964): Peminangan dalam filem ini ialah peminangan politik. Tuan empunya hasrat, iaitu Abdul Wahab dan Abdul Wahib datang sendiri berjumpa bakal bapa mentua,iaitu Sadiq Segaraga. Pinangan mereka tentu sahaja diterima kerana Sadiq memang sudah merancang supaya anak-anak perempuannya berkahwin dengan legasi Ismet Ulam Raja demi menyelamatkan perniagaannya yang hampir muflis. Namun, Abdul Wahab dan Abdul Wahib mesti menandatangani perjanjian ‘jangan marah, nanti kena jual’. Abdul Wahab dan Abdul Wahib yakin mereka tidak akan marah dan tidak akan dijual kerana kononnya dicintai oleh isteri mereka. Malah sempat merancang untuk membawa isteri mereka berpindah selepas 10 hari berkahwin. Namun tidak sampai 24 jam, mereka sudah pun terjual.

Perkahwinan dalam Tiga Abdul bukan perkahwinan untuk menambahkan kasih sayang tetapi untuk menambahkan harta serta kuasa. Bapa mentua jenis apakah yang sanggup membuat perjanjian untuk merampas harta dan menjual menantu jika menantu marah? Si bapa mentua hanya ketawa setelah menantunya terjual sebagai hamba abdi tanpa memikirkan perasaan ahli keluarganya yang lain. Abdul Wahab dan Abdul Wahib juga tidak pernah terfikir bahawa isteri mereka akan menurut perintah bapa untuk membuat provokasi supaya suami marah. Bak kata Pak Aji yang menjadi narrator ‘’Selesailah upacara perkahwinan kedua-dua lembu ituuuu!’’

Apabila tiba giliran adik Abdul Wahub, ternyata si adik bongsu sudah bersedia. Melihat apa yang telah terjadi ke atas abang-abangnya, ditambah pula dengan ilham dari mimpi, Abdul Wahub meminang Ghasidah dengan membawa dokumen harta peninggalan Ismet di luar negeri. Pada mulanya, Sadiq menggunakan kata ganti nama ‘hamba’ dan ‘tuan hamba’ dengan Abdul Wahub. Namun selepas melihat dokumen harta di Pakistan, Hindustan dan Negeri Setan, kata ganti namanya terus berubah kepada ‘ayahanda’ dan memanggil Abdul Wahub sebagai ‘anakanda’. Harta punya pasal,kan?

Bukan semua orang pergi meminang dengan membawa dokumen harta tetapi Abdul Wahub berbuat demikian. Beliau sudah arif dengan sifat tamak Sadiq Segaraga dan yakin Sadiq akan menerima pinangannya. Dokumen harta itulah tiket beliau untuk menjebak Sadiq supaya turut menandatangani perjanjian ‘tidak boleh marah’ supaya tidak ‘berat sebelah’. Abdul Wahub sudah ‘membuat kerja rumah’ sebelum meminang calon isterinya. Tetapi Tuan Penasihat 20 Persen memandang rendah kepada rancangan Abdul Wahub, malah menyifatkan beliau sebagai budak mentah.

  1. Ahmad Albab (1968): Adegan meminang dalam filem ini memang sangat diingati, bertolak dari dialog Masyhur al-buaya ‘’Sebelum terlambat, perempuan mesti meminang laki-laki. Baru rumah tangga boleh selamat!’’ Menurut Masyhur ‘’Adat lama tak boleh memajukan rumah tangga.’’ Barangkali Masyhur mempunyai niat yang baik untuk melihat rumah tangga anaknya bahagia, malah menyarankan supaya Mastura berkahwin dengan orang kaya supaya ‘ada tukang masak, ada babu’ kerana beliau tahu anak perempuannya tidak biasa membuat kerja rumah. Tetapi beliau telah tersalah memilih Muharam dan Safar sebagai menantu dan takbur dengan Syawal. Beberapa wacana tentang perkahwinan dalam Ahmad Albab juga menarik, antaranya cadangan di Kalabul Malami supaya anak berkahwin lari untuk menjimatkan belanja dan pernikahan Syawal dengan Mastura di padang pasir bermaskahwin free. Filem ini memuatkan saranan P. Ramlee bahawa perempuan meminang lelaki bukanlah sesuatu yang menyalahi hukum agama, malah sangat digalakkan untuk perempuan menentukan hala tuju kehidupannya sendiri.

  1. Madu Tiga (1963): Inilah adegan meminang paling sempoi dan paling saya suka. Rafi diarahkan oleh bosnya, Jamil bin Abu untuk meminang calon isteri ketiganya. Rafi menolak, kerana katanya meminang itu ‘kerja orang tua-tua, encik’. Tetapi kata Si Jamil, ‘’Zaman sekarang dah moden, orang muda pun boleh pergi meminang’’. Akhirnya Rafi pun meminang Rohani tanpa sebarang paraphernalia atau wakil pengiring. Belum sempat tuan rumah menjawab salam dan mempelawa duduk, Rafi terus menyatakan tujuan tanpa berbasa-basi. Bicaranya ringkas, direct to the point dan memulakan ayat dengan ‘’Dipendekkan cerita…’’. Tanpa sebarang mukadimah atau pantun, Rafi malah menyarankan agar Pak Ali terus menerima pinangan tersebut supaya ‘memudahkan kerja saya, tak payah saya berulang-alik tiga empat kali datang ke mari.’’ P. Ramlee telah melihat situasi meminang di sekelilingnya yang leceh, rumit dan meleret-leret maka beliau guna medium komedi supaya hal ini dipermudahkan.

Jadi, yang mana satu adegan meminang pilihan anda? Yang mana anda pernah alami sendiri?

AR Tompel: Sekarang kita nak ubah adat itu. Kita mesti progresif!

(Ahmad Albab)

*Gambar-gambar: Tangkap layar filem Bujang Lapok, Musang Berjanggut, Labu Labi, Madu Tiga, Tiga Abdul dan Ahmad Albab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *