Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

NUJUM PAK BELALANG: SEBUAH MEDIUM SATIRA DAN ALIH WAHANA

*SEBARANG AMBILAN DARIPADA BLOG INI HENDAKLAH DIBERIKAN KREDIT.

Pada 11 September 2021, telah berlangsung Bual Bicara Karya P. Ramlee anjuran Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Rumah Kelahiran P. Ramlee, Pulau Pinang dan Arkib Negara Pulau Pinang.  Dua orang panel yang telah diundang untuk menjayakan sesi tersebut ialah Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang dan saya sendiri, selaku pengkaji filem P.Ramlee.  Dalam sesi tersebut, Tan Sri Dato’ Seri Yussof Latiff sebagai anak jati Pulau Pinang banyak berkongsi pengalaman peribadinya bersama Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Pada usia 85 tahun, Tan Sri Yussof merupakan antara sahabat P. Ramlee yang masih hidup. Selain memperkatakan tentang sifat-sifat pemurah dan bakat alami yang dimiliki oleh Seniman Agung tersebut, Tan Sri turut berkongsi bahawa P. Ramlee merupakan antara orang yang aktif dalam permainan sepak raga di Pulau Pinang. Apabila berhijrah ke Singapura, P. Ramlee telah mempopularkan sukan sepak raga di kota besar itu. Sebagai orang kuat Presiden Kelab Peminat P. Ramlee, Tan Sri turut berkongsi perancangan yang telah dibuat dan akan dibuat oleh kelab untuk memastikan supaya sumbangan kesenimanan P. Ramlee mendapat tempat yang sewajarnya. Selain daripada menyebut bahawa nama ASWARA pernah dicadangkan supaya ditukar ke Universiti P. Ramlee, pihak Tan Sri juga sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk menamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee.

Bila Tan Sri Yussof menyebut nama ASWARA, memang kesayuan tu mailah juga di hati ini. Hah! Tapi saya tabahkan hati dan menyambung bahawa ASWARA merupakan satu-satunya IPT tempatan setakat ini yang mempunyai kursus Pemikiran Filem P. Ramlee. Saya habaqlah kat Tan Sri dan semua yang melayari sesi forum tersebut bahawa saya pernah mengajar subjek itu untuk tiga batch. Part saya kena buang kerja dan tak dapat lagi mengajar subjek kesayangan saya tu saya tak habaqlah. Saya nyatakan bahawa subjek  seperti ini wajar diteruskan di IPT lain dan USM sebagai sebuah universiti yang berada di negeri kelahiran P.  Ramlee sendiri boleh memulakan langkah ini.

Dalam forum itu juga, saya ditanya tentang sumber idea yang diangkat oleh P. Ramlee ke dalam filem-filem beliau. Antara soalan yang diajukan ialah khusus mengenai filem Nujum Pak Belalang (1959) yang diangkat daripada cerita rakyat. Saya telah memberi sedikit perbandingan antara Nujum Pak Belalang versi cerita rakyat dengan versi filem dari segi watak dan perwatakan serta jalan cerita. Beberapa ubahsuai itu dibuat oleh P. Ramlee mengikut kreativiti beliau bagi memenuhi tuntutan komersial serta boleh difilemkan mengikut teknologi perfileman yang ada ketika itu. Nujum Pak Belalang ialah sebuah filem berunsur satira dan satira ditulis dengan cara yang halus dan tajam melalui sindiran, ejekan dan sendaan untuk mewujudkan kritik. P.Ramlee sedar beliau berkarya untuk masyarakat Melayu yang lebih gemar menerima kritikan melalui cara jenaka dan berkias. Dalam Tamadun Melayu dan dunia sastera tradisional, unsur sindiran, teguran dan kritikan disampaikan melalui kiasan, peribahasa, pantun,cerita-cerita jenaka (Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang) dan cerita-cerita binatang.

Kepercayaan kepada unsur tahyul dan mistik dalam Nujum Pak Belalang boleh disenaraikan seperti berikut:

  1. Pencuri yang jahat pun takut apabila Belalang menyamar sebagai ‘anak jin’. Kepercayaan mereka ternyata lebih tinggi kepada unsur semangat/benda tidak nampak.
  2. Penghulu dan seisi kampung lebih mempercayai nujum dan tilikan, bukannya berikhtiar mencari dahulu barang yang hilang.
  3. Perbendaharaan negara serta istana berjaya dibolosi hanya dengan menggunakan pukau.
  4. Sultan juga mempercayai tilikan nujum sedangkan itu hanya satu penipuan.
  5. Pencuri juga mudah terpedaya dengan suara penunggu gua.
  6. Sultan juga mudah mempertaruhkan negeri hanya dengan pelawaan bermain teka-teki.

Ada berapa pembohongan/penipuan dalam Nujum Pak Belalang? Ini antara senarainya.

  1. Membuat kopi daripada arang (bukan kopi sebenarnya)
  2. Cik Cengkadok mengatakan kopi arang Pak Belalang sedap, sedangkan rasanya adalah sebaliknya. Ini cara tetamu menjaga air muka tuan rumah.
  3. Pencuri menipu semasa membahagi lembu dan kambing. Pernah jumpa pencuri yang jujur?
  4. Belalang menyamar sebagai anak jin.
  5. Pak Belalang menipu sebagai ahli nujum
  6. Tok Penghulu menipu Sultan dengan memandai-mandai mengemaskini resume Pak Belalang.
  7. Mak Inang berpakat dengan Tuan Puteri untuk menipu jatuh gering, supaya ada peluang berjumpa dengan Ahlil Nujum.
  8. Baginda Masai menipu melalui unsur pertaruhan negara.

Semasa saya masih kecil, jujur saya katakan yang saya tidak tahu bahawa filem Nujum Pak Belalang itu adalah alih wahana daripada cerita rakyat. P. Ramlee seharusnya diberi kredit kerana memanjangkan hayat sastera rakyat melalui alih wahana ini. Beberapa perubahan yang dibuat pastilah dilakukan supaya sesuai dengan medium filem, sekaligus mengandungi unsur komersial dan mencapai  objektif pengarah  untuk menyampaikan ‘sesuatu’. Sekarang kita lihat perbandingan antara Nujum Pak Belalang versi cerita rakyat dengan Nujum Pak Belalang versi filem;

Nujum Pak Belalang versi cerita~

1.Pak Belalang ada isteri,

  1. Tinggal di Halban Condong,
  2. Berlawan teka-teki dengan Encik Juragan,Encik Nakhoda dan Raja Askalan Rum,
  3. Digelar Ahlun Nujum,
  4. Pencuri lembu ada 7 orang.

Nujum Pak Belalang versi filem~

  1. Pak Belalang duda (ada can dating dengan Tuan Puteri)
  2. Tinggal di Beringin Rendang,
  3. Berlawan teka-teki sekali harung dengan Baginda Masai,
  4. Digelar Ahlil Nujum
  5. Pencuri lembu maram perapu ada 2 orang sahaja.

Sebagai penutup: apakah P. Ramlee ‘menghalalkan’ penipuan, perjudian, tilik nasib dan nujuman melalui karyanya?  P. Ramlee hanya mengingatkan bahawa penipuan, mereka-reka cerita dan perjudian akan menjadi cara hidup, sehingga kini. Kita akan disanjung jika pandai berbohong. Melalui pembohongan dan tipu helah, seseorang dapat mengeluarkan dirinya dari nasib yang kurang baik.  Apakah kemiskinan hanya boleh dihapuskan melalui cara penipuan dan scammer? Pihak manakah yang patut membaca semua mesej tersembunyi ini dan bertindak membetulkan keadaan?

 

‘’Alamak, Pak Belalang jadi Sultan hari ini!’’

(Nujum Pa’ Blalang)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *