KRITIK KEPIMPINAN DALAM MUSANG BERJANGGUT
Musang Berjanggut arahan P.Ramlee (1959) mengisahkan Sultan Alam Shahbana yang memerintah negeri Pura Cendana, bersedih kerana tidak mempunyai zuriat. Atas nasihat Permaisuri, baginda mengambil anak angkat dari kalangan rakyat biasa. Sultan mendengar pandangan bernas seorang wanita.
Anak yang diambil dinamakan Tun Nila Utama. Ini bermaksud, pintu untuk rakyat biasa memegang tampuk pemerintahan sudah terbuka. Tun Nila Utama adalah contoh mobilisasi berasaskan meritokrasi. Tun Nila dimasyhurkan sebagai pewaris takhta dan diajar pelbagai ilmu serta seni mempertahankan diri. Setelah dewasa Tun Nila disarankan untuk beristeri yang boleh dipilih daripada kalangan anak-anak pembesar negeri. Tun Nila menolak dengan memberi alasan mereka itu semuanya ‘’bukan perempuan,tetapi betina semata-mata’’. Kelantangan ini menimbulkan kemarahan Sultan.
Tun Nila diperintah keluar mencari isteri yang berstatus perempuan seperti kehendaknya itu. Beliau pun melangkah keluar membawa uncang berisi beras dan rempah ratus yang telah dicampur aduk. Tun Nila singgah bermalam di rumah demi rumah untuk mencari gadis yang sanggup memasak bahan-bahan yang dibawanya. Setelah berbulan-bulan lamanya barulah bertemu bertemu seorang gadis bernama Puspawangi yang berjaya memasak bekalan dari uncangnya. Maka seperti ikrarnya sebelum meninggalkan istana, Tun Nila berkahwin dengan Puspawangi dan membawanya pulang ke Pura Cendana.
Setelah sampai di Pura Cendana, huru-hara bermula. Pembesar-pembesar negeri, malahan baginda Sultan sendiri menjadi gila bayang setelah melihat kecantikan Puspawangi. Sultan membuat helah yang baginda gering dan Tun Nila diminta mencari musang berjanggut sebagai penawar. Tun Nila tidak boleh membawa isterinya kerana ‘musang berjanggut takut kepada perempuan’. Semasa ketiadaan Tun Nila, Sultan dan pembesar-pembesar telah datang ke rumah Tun Nila dengan tujuan untuk bermesra dengan Puspawangi. Puspawangi memerangkap Sultan dan pembesar-pembesar yang mempunyai niat tidak jujur. Bayangkan, Puspawangi ‘menunggang’ bapa mentuanya sendiri dan menghumban para pembesar yang sudah berusia itu dengan kasar. Tanpa konvensi komedi, babak ini akan menjadi sensitif. Adegan Puspawangi melayani Sultan dan pembesar-pembesar mempunyai elemen kiasan yang tajam serta dipenuhi soalan ‘maut’ mengenai peranan pembesar dalam pemerintahan negara.
Soalan maut yang paling diingati tentulah soalan untuk Datuk Nikah Kahwin, seperti petikan di bawah:
http://https://www.youtube.com/watch?v=twGe1YFfXuw
Dialog ‘’Undang-undang negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam!”menyerlahkan sifat hipokrit yang tugas hakikinya ialah menggubal dan menguatkuasakan undang-undang bagi memelihara kehidupan berkeluarga di dalam negara. Namun mereka sendiri yang mencabul kedaulatan undang-undang tersebut. Di mana-mana, sampai bila-bila, dialog ini terpakai.
Dari awal lagi, Tun Nila sangat berhati-hati dalam memilih isteri. Sikap ini memperlihatkan pegangannya bahawa isteri mempunyai peranan yang penting dalam pemerintahan, oleh itu perlu dicari dengan hati-hati dan waspada. Tun Nila mencari perempuan yang sanggup memasak bahan-bahan yang bercampur aduk. Makna yang tersirat ialah beliau mencari kesabaran . Yang dicari ialah permaisuri yang dapat diharapkan untuk menasihati dan turut membantu dalam memerintah negara. Uncang yang berisi rempah ratus itu adalah simbol kepada negeri yang akan mempunyai pelbagai perkara dan masalah yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar.
Dari sini terbukti bahawa cerita dan penceritaan Musang Berjanggut mengandungi lapisan makna yang lebih besar iaitu menyampaikan kritikan masyarakat khasnya penyelewengan kuasa oleh pembesar-pembesar yang relevan di sepanjang zaman. Musang Berjanggut mengkritik beberapa amalan pemerintah negeri yang tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka.
Wacana kepimpinan dimulakan sejak awal dengan kerunsingan Sultan tentang masa depan negeri. Sultan akhirnya memilih anak angkat dari kalangan rakyat. Pemilihan itu berdasarkan firasat yang anak itu akan membawa tuah, walaupun Sultan tidak mengenal latarbelakang dan keluarga bayi tersebut. Menurut Datuk Bendahara Paduka Raja, kanak-kanak lelaki yang terpilih ke istana itu adalah 10 daripada 100 orang yang ‘’boleh tahan’’ kerana yang lain ‘’kelabu asap’’. Sultan memberi nama baru kepada bayi tersebut mengambil sempena nama Raja besar dalam Sejarah Melayu, iaitu Tun Nila Utama. Hal ini juga selaras dengan pandangan semesta orang Melayu bahawa nama mempunyai pengaruh dalam diri seseorang.
Tun Nila diasuh dan diajar ilmu mempertahankan diri silat Melayu. Kedudukan Tun Nila yang tidak berasal dari keturunan diraja memperlihatkan bahawa kebijaksanaan dan kelayakan memimpin tidak hanya terhad kepada darah keturunan sahaja. Rakyat juga mempunyai hak dan mampu memimpin jika diasuh dan dilengkapkan dengan ilmu kepimpinan. Hal ini memperlihatkan lahirnya bibit-bibit demokrasi dalam sistem pemerintahan negeri Melayu.
Sajak ‘Nila dan Puspa’,Raihani Mohd. Saaid (Dewan Sastera bil.5, 2017).
Oh,ya. Dalam sebuah filem bernuansa Melayu tradisional ini, ada sepatah perkataan Inggeris diselitkan dalam dialog. Siapa tahu? Hehehe.
‘’Puspawangi punya pasal, kicap pun kicaplah!’’
(Musang Berjanggut)
*sebarang ambilan dari blog ini hendaklah diberi kredit.
*Gambar: Tangkap layar filem Musang Berjanggut (MFP, 1959).