Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

”BUNGA MAKIN NAIK. MAK BAPAK KAU YANG SALAH!”

AMALAN-AMALAN YANG MERUGIKAN: ADAT DAN ACARA PERKAHWINAN

‘’Di antara segala adat resam Melayu, aturan nikah kahwin inilah yang amat diambil berat oleh orang-orang dan mereka menjalankannya secara besar-besaran. Adat peraturan nikah kahwin inilah juga yang dianggap paling rumit dan memerlukan modal besar bagi menjayakannya dengan sempurna.’’

(Syed Alwi Alhadi, Adat resam dan adat istiadat Melayu (1973, p.20);

P.Ramlee mengemukakan pemikiran dan kritikan terhadap  masyarakat menerusi filem-filemnya. Antara yang menjadi bahan kritikan dan sindiran ialah amalan-amalan yang merugikan seperti adat dan acara perkahwinan besar-besaran sehingga menyebabkan yang miskin bertambah miskin kerana terpaksa berhutang.

Antara filem yang menyentuh isu ini ialah Bujang Lapok (1957), iaitu melalui perhubungan Zaiton dan Sudin. Mak Sudin telah pergi meminang Zaiton dan Emak Zaiton meminta hantaran yang agak tinggi (seribu serba satu).

Zaiton dan Sudin berada dalam status ekonomi yang berbeza.  Keluarga Zaiton  dianggap keluarga yang berada kerana mempunyai rumah sendiri. Ini berbeza dengan Ramlee, Sudin dan Aziz yang menyewa bilik serta berhimpit-himpit dengan keluarga lain di rumah Cik Normah.

Kesanggupan Mak Sudin memberi hantaran mahal ini dipersoalkan oleh Sudin kerana mereka bukan orang kaya. Tetapi Mak Sudin sanggup melakukannya demi kasih sayang seorang ibu. Mak Sudin juga berharap akan dapat berhutang dengan saudara mara mereka yang kaya, seperti dialog berikut; ‘’Apa yang kau susahkan, Din. Berapa banyak adik beradik kita orang kaya, mak boleh meminjam.Soal wang kau jangan khuatir. Mak tahu kau kahwin dengan Zaiton, itu saja!’’

Aziz pula mempunyai pandangan berbeza yang disampaikan melalui dialognya: “Buat sayalah, Makcik…kahwin secara besar-besaran ni semata-mata membazir.’’ Namun Mak Sudin mempertahankan bahawa majlis perkahwinan itu harus dibuat besar-besaran kerana itu adalah acara yang dilalui sekali sahaja seumur hidup. Mengikut Mak Sudin, di kala itulah pengantin menjadi ‘raja sehari’. Pendapat ini adalah satu kebiasaan di kalangan orang-orang Melayu seperti yang ditulis oleh Syed Alwi Alhadi dalam petikan pembukaan.

Petikan di atas membuktikan bahawa upacara perkahwinan sangat penting dalam masyarakat Melayu, malah kadang-kadang dianggap lebih penting daripada kebahagiaan perkahwinan itu sendiri. Tanggapan inilah yang menjadikan Mak Sudin akur dengan tuntutan adat resam dalam soal mengadakan upacara kenduri kahwin. Mak Sudin sanggup menyediakan hantaran mengikut apa sahaja yang dijalankan oleh masyarakat di sekeliling walaupun perkara itu membebankan mereka dari segi kewangan. Walaupun pada mulanya Sudin digambarkan seolah-olah tidak bersetuju dengan jumlah hantaran yang perlu disediakan, tetapi kemudian Sudin juga akur.  Sudin mengikut nasihat Ramlee  supaya  bekerja keras mengumpul duit, seperti dialog Ramlee; ‘’Tapi walau bagaimanapun,kau mesti kerja kuat, Din…mengumpulkan wang dari sekarang.’’

P. Ramlee mendedahkan realiti masyarakat melalui kisah ini. Sewaktu Aziz, Sudin dan Mak Sudin berbual-bual mengenai hantaran dan adat perkahwinan itu, dimunculkan watak suami isteri iaitu Pak Nyong dan Mak Munah yang menjadi jiran bilik sewa mereka. Mak Munah telah menyalahkan suaminya kerana tidak membelikannya barang-barang kemas. Pak Nyong pula menyalahkan ibu bapa si isteri kerana meminta wang hantaran mahal sewaktu hendak berkahwin dahulu, menyebabkan beliau terpaksa meminjam wang dari Benggali. Hutang masih belum habis dibayar walaupun sehingga mereka sudah mempunyai 3 orang anak.

Inilah perkara yang cuba ditegaskan oleh Aziz tentang keburukan upacara perkahwinan besar-besaran, yang membawa kepada pembaziran serta beban berhutang. Perkataan ‘’mak’’ dan ‘’bapak’’ yang disebut oleh Mak Munah menunjukkan bahawa isu hantaran mahal ini ialah isu turun temurun yang sudah lama dibawa dalam masyarakat. Aziz mewakili generasi muda telah menyuarakan pendapatnya tentang perkara yang membebankan ini. Ibu bapa Mak Munah adalah juga anggota masyarakat yang akur dengan tuntutan adat masyarakatnya. Dialog-dialog pertengkaran antara Mak Munah dengan suaminya padat dan cukup memberi maklumat tentang masalah yang membelenggu mereka selama ini. Dialog yang dipertuturkan memperlihatkan dengan jelas kepincangan rumahtangga dan masalah masyarakat akibat daripada amalan upacara perkahwinan yang membebankan.

Masalah hutang ceti turut menjadi bahan kritik dalam filem Anak Bapak (1968). Persoalan hutang ceti dan pengaruhnya dalam sosio budaya dan sosio ekonomi telah dikaji oleh Mahani Awang@Musa dalam tesis Doktor Falsafah Universiti Malaya yang bertajuk Sosio Ekonomi Wanita Melayu Kedah (1881-1940).  Melalui tesisnya, Mahani mededahkan perihal tanah-tanah milik orang  Melayu yang terlepas ke tangan bangsa lain akibat gagal membayar hutang. Kebanyakan hutang ialah untuk  menyediakan kelengkapan bagi mengadakan majlis perkahwinan anak-anak. Hal yang sama telah digarap oleh Sasterawan Negara, Zurinah Hassan melalui cerpennya Kerongsang Berlian Wan Tempawan yang termuat di dalam Kumpulan Cerpen Murka Lautan, ITBM, 2013. Demikianlah yang sering terjadi, masyarakat berhabis-habisan kerana takut dicemuh dan dituduh tidak beradab serta tidak tahu adat kerana mengabaikan amalan warisan nenek moyang walaupun perkara ini membebankan mereka.

”Siapa yang bersalah dalam soal ini? Siapa yang bersalah?”

(Bujang Lapok)

 

Kredit gambar: tangkap layar filem Bujang Lapok,tayangan oleh Astro Prima.

 

7 thoughts on “”BUNGA MAKIN NAIK. MAK BAPAK KAU YANG SALAH!”

  1. Я оцениваю использование автором качественных и достоверных источников для подтверждения своих утверждений.

  2. I feel that is among the such a lot important information for me. And i am satisfied studying your article. However want to remark on few common things, The site taste is wonderful, the articles is in point of fact great : D. Excellent process, cheers

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *