LELAKI RAJIN vs LELAKI MALAS
Assalamualaikum, salam pasca PKP. Lama sudah tak singgah rumah kesayangan ini.
Siapakah lelaki yang rajin dan malas dalam filem P.Ramlee? Bila tonton balik kebanyakan filem beliau, memang ada ‘komedi gelap’ tentang watak-watak lelakinya. Sebelum saya melanjutkan tulisan ini dengan nada serius, mari kita santai-santai dulu. Antara watak lelaki yang malas bekerja untuk membaiki keadaan hidup ialah Ali Baba (Ali Baba Bujang Lapok), Pak Belalang (Nujum Pak Belalang) dan Do (Do Re Mi).
Ali Baba memberi alasan tulangnya sudah reput hingga tidak boleh bekerja dan ditempelak oleh Kassim Baba sebagai lebih teruk dari ‘unta padang pasir’, kerana terpaksa meminjam gandum untuk makan sehari-hari. Pak Belalang memberi alasan badannya sudah naik uzur dan berpegang kepada pepatah ‘ulat dalam batu pun boleh makan’. Malah sanggup membiarkan anaknya Belalang bekerja tak henti-henti, sedangkan dia hanya tidur sepanjang hari. Do pula hanya menghabiskan masa bermain dam di warung, banyak hutang dan untuk menyelesaikan hutang itu, maka berlakulah adegan ‘Minah Atau Do Mati Dulu?’. Muharam dan Safar dalam Ahmad Albab pun hanya tahu berjoli dan untuk menampung hidup, mereka merompak kedai Amran Al-Intan dan menipu isteri serta bapa mertua mereka, kononnya mereka saudagar. Jadi, watak lelaki manakah yang rajin bekerja dalam filem P.Ramlee?
Kalau watak itu rajin bekerja, dia berada dalam keadaan miskin dan tertindas. Ataupun ‘tak berapa pandai’. Contohnya, Labu dan Labi. Mereka rajin bekerja, sampaikan minum petang Pak Haji Bakhil pun sudah disiapkan dari pagi lagi. Tetapi mereka rajin kerana mereka terpaksa dan ‘ditindas’ dengan perkataan-perkataan seperti ‘bodoh, bahlul, setan’ dan terpaksa tidur di serambi. Untuk keluar dari penindasan itu, mereka menggunakan eskapisme dalam mimpi. Abdul Wahib Ulam Raja pun kelihatan rajin bekerja di kedai ukirnya. Tiga hari sudah siap ukiran muka Mem Aloyah Kuih Lapis tapi bila Mem Aloyah tengok ukiran mukanya, dia pengsan pula. Re dalam Do Re Mi pun nampak macam rajin memasak dan membuat kerja rumah tapi selalu dimarah dan ditengking isteri, sampai tersilap ambil kipas lipas.
Watak Belalang memang rajin, tapi terpaksalah rajin sebab bapanya pemalas. Tetapi Belalang masih budak. Watak Syawal dalam Ahmad Albab pun rajin bekerja, tapi memang keadaan hidupnya miskin, orangnya lurus bendul, pelat dan buta huruf (di awal cerita). Tiga orang watak utama dalam Seniman Bujang Lapok pun berikhtiar mencari kerja dan ditunjukkan gigih membaca skrip, tetapi berdepan pula dengan cabaran setinggan. Ditunjukkan juga kepercayaan Sudin kepada batu hikmat untuk mendapatkan untung segera. Jika ada lelaki yang sudah kaya dan berjaya, ada pula ‘flaw’ mereka. Harun Mahfiz suka berjoli, berhutang ceti, tipu duit bapak dan meminjam isteri kawan. Jamil bin Abu kahwin tiga senyap-senyap. Cikgu Shaari dah ada kerjaya elok, asyik tertidur dalam kelas kerana buat dua kerja dalam satu masa serta ponteng mesyuarat guru untuk berdating di Zoo Negara.
Jadi, apakah sifat rajin hanya dikaitkan dengan orang yang miskin, tertindas dan tak berapa pandai? Mari sama-sama kita fikirkan.
‘’Sekarang ni kerja susah ya ,Encik Kacong?’’
‘’Tambah-tambah pulak orang yang malas!’’
(Nujum Pa’ Belalang)
*Gambar-gambar: Tangkap layar filem Tiga Abdul (1964), Nujum Pak Belalang (1959), Anak Bapak (1968) dan Do Re Mi (1966). Sebarang ambilan dari blog ini hendaklah diberikan kredit.