Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

KOMEDI P. RAMLEE: RASA KICAP, GARAM DAN GULA

Ada peribahasa Melayu yang berbunyi “Jauh perjalanan banyak pengalaman, lama hidup banyak dirasa”. Maksudnya jelas, iaitu apabila seseorang banyak berjalan dia akan melihat pelbagai pemandangan, bertemu ramai orang dan sudah pasti akan beroleh pelbagai pengalaman. Bila seseorang dikurniakan umur yang panjang tentulah banyak perkara yang dirasai. Perkataan ‘rasa’ merujuk kepada perasaan yang dibentuk oleh perkara yang berlaku ke atas seseorang. Rasa juga berkait dengan citarasa dan pandangan hidup. Namun perkataan rasa juga berkait dengan “taste” atau rasa makanan.

 

Peribahasa Melayu mengandungi sejumlah ungkapan yang menggunakan makanan dan rasa makanan seperti manis, pahit, masam dan masin untuk kias ibarat. Misalnya, apa yang dilalui setiap hari atau realiti kehidupan dikatakan pahit manis kehidupan. Kejadian-kejadian yang dianggap baik dan disukai menjadi kenangan manis, sementara kejadian yang tidak disukai dianggap kenangan pahit. Kadang-kadang berlaku kejadian yang tidak diduga. Kejadian-kejadian itu mendatangkan masalah. Namun ia perlu dihadapi dan diatasi sebagai asam garam atau rempah ratus kehidupan.

Orang yang lebih tua perlu dihormati kerana dia lebih lama makan garam. Lebih dahulu makan garam menandakan lebih tahu dan lebih bijak. Kesempurnaan hidup disamakan dengan makanan yang sempurna. Begitulah sebaliknya, kejadian yang tidak tepat dengan kehendak atau tidak seperti yang diharapkan dianggap seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’. Sesuatu keadaan dianggap adil apabila “siapa makan cili dia merasa pedas” dan adalah tidak adil jika “orang lain makan nangka orang lain yang kena getah”.

P.Ramlee  juga mengambil makanan dan rasa makanan untuk menyampaikan pemikiran terhadap masyarakat terutama dalam dialog yang berupa sindiran dan kiasan. Unsur-unsur ini juga menerbitkan jenaka dalam filemnya. Terdapat dua golongan yang menjadi sasaran kritik sosial P.Ramlee yang disebutkan di sini.;

  • Golongan yang tidak dapat membezakan rasa makanan
  • Golongan yang tidak peduli dan tidak menghargai rasa dan nikmat makanan

 

Golongan pertama, iaitu yang tidak lagi mengenal rasa makanan adalah mereka yang hilang kewarasan. Hal ini boleh terjadi apabila seseorang itu dikuasai oleh perasaan cinta dan berahi. Keadaan ini ditemui dalam filem Bujang Lapok.  Ramlee berkata kepada Sudin “Kalau sudah suka sama suka, memang tak kenal botol kicap dengan botol cuka”. Apa yang dimaksudkan melalui dialog ini ialah tidak dapat membezakan antara rasa cuka yang masam dengan kicap yang masin. Kicap dan cuka mempunyai rasa yang berbeza. Jika seseorang tidak dapat membezakan antara rasa masin dan dan rasa masam sudah tentu dia dianggap telah hilang kewarasan dan pedoman.

Ramlee berkata demikian bagi mengulas hubungan cinta antara Sudin dengan Zaiton. Sudin sedar bahawa hubungan mereka mungkin terhalang kerana perbezaan taraf sosioekonomi. Emak Zaiton berhajat menjodohkan Zaiton dengan orang yang berada supaya kehidupan anaknya akan terjamin. Tetapi Sudin dan Zaiton tetap meneruskan perhubungan mereka dan berjumpa secara rahsia atas dasar cinta sama cinta.  Itulah yang dianggap oleh Ramlee sebagai tidak mengenal botol kicap dan botol cuka, iaitu tidak dapat berfikir dengan rasional. Dalam dialog ini terkandung sindiran bahawa orang bercinta perlu juga mendengar nasihat orang lain, mencari panduan hidup jangan hanya bergantung kepada perasaan semata-mata.

Penggunaan rasa kicap sebagai kiasan dan menimbulkan jenaka juga terdapat dalam filem Musang Berjanggut. Dalam adegan para pembesar Pura Cendana datang ke rumah Puspawangi, Datuk Pujangga telah disuap dengan sebiji buah oleh Puspawangi sehingga beliau tercekik. Oleh itu, Puspawangi telah membawakan secawan ‘kopi’ untuk Datuk Pujangga. Tetapi Datuk Pujangga mengatakan ‘’masin kopinya’’ dan dengan kasihan yang dibuat-buat, Puspawangi berpura-pura terkejut dan meminta maaf kerana kopi itu sebenarnya adalah kicap. Sudah tentu Datuk Pujangga tidak dapat menelannya kerana terlalu masin, tetapi kerana perasaan mabuk cinta terhadap Puspawangi, beliau gagahi juga. Kata Datuk Pujangga “Puspawangi punya pasal, kicap pun kicaplah”. Beliau terpaksa menelan kicap semata-mata untuk tidak mengecilkan hati Puspawangi yang bersusah payah melayannya, sedangkan sebagai pujangga, beliau  sepatutnya berpengetahuan tinggi dan dapat membezakan baik dan buruk.

Golongan kedua tidak menghargai malah membuang bahan-bahan yang memberi perisa kepada makanan. Contoh yang klasik ialah Masyhur Al-Buaya dalam filem Ahmad Albab. Masyhur sentiasa menunggu hadiah-hadiah mahal daripada anak menantunya dan menyindir menantunya Syawal kerana kemiskinannya. Adegan minum kopi pahit dan makan gulai ‘citapi’ tawar semasa majlis hari jadinya memang penuh dengan pengajaran. Ketika anak menantu lain membawakan hadiah yang mahal untuknya, Syawal,yang berkahwin dengan anaknya, Mastura telah membawa sebungkus garam dan gula yang cuma diletakkan di atas tapak tangan.

Kata Mastura “Garam dan gulalah tanda kasih sayang kami kepada abah”. Masyhur merasa berang dan terhina lalu melempar bungkusan garam dan gula tersebut di hadapan orang ramai.  Mastura kemudian membawa secawan kopi yang tidak bergula dan capati berserta gulai yang tidak bergaram. Mastura mahu abahnya makan pada waktu itu juga di depan orang ramai. Semua ini untuk menyedarkan Masyhur bahawa makanan yang tidak bergaram dan bergula tidak ada maknanya. Demikianlah kehidupan yang tidak sempurna adalah seperti makanan yang tidak cukup garam dan gula. Kebahagian hidup tidak hanya terletak kepada barang-barang mahal tetapi juga benda-benda kecil yang sering dilupakan. Garam dan gula mungkin tidak semahal intan berlian tetapi nilainya sangat besar dalam hidangan.

 

‘’Tengok bungkus macam bijih timah!’’

(Ahmad Albab)

 

*Gambar: Tangkap layar filem Shaw Brothers dan Merdeka Studio.

 

2 thoughts on “KOMEDI P. RAMLEE: RASA KICAP, GARAM DAN GULA

  1. Автор старается не вмешиваться в оценку информации, чтобы читатели могли сами проанализировать и сделать выводы.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *