”SUSAHNYA HENDAK MENGKRITIK…”
Ramlee meneruskan tradisi penglipurlara yang bukan sahaja memperkatakan malah menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh bangsa Melayu yang sedang berhadapan dengan dunia baru yang mencabar. P. Ramlee turut menggarap persoalan-persoalan tentang kemurnian dan keagungan agama Islam, walaupun tidak secara berterus-terang. Penggunaan elemen komedi, sindiran dan kiasan dalam skrip-skrip beliau tetap berfungsi menyampaikan saranan peleraian kepada masalah manusia. P. Ramlee sedar bahawa dakwah akan lebih mudah disampaikan dan difahami oleh segenap lapisan masyarakat tanpa perlu syarahan yang keras.
Hal ini turut disuarakan oleh Jamil Sulong dalam kertas kerjanya yang bertajuk ’’Dari Perspektif Seorang Kenalan’’ (2003). Antara lain, beliau menyebut;
’’Sayangnya susah kami hendak membuat filem yang mengkritik, atau pun memburukkan pihak-pihak tertentu. Kalau kami buat filem yang sedemikian itu, besar kemungkinan filem tersebut tidak diluluskan atau pun ada babak-babak dan bahagian tertentu yang mesti dipotong sehingga impak yang diharapkan daripada filem tersebut menjadi tawar dan hambar’’ (2003, p.381).
Penggunaan jenaka dalam menyampaikan nasihat dan kritik sosial telah lama berlaku dalam tradisi kesusasteraan Melayu tradisional termasuk cerita lagenda, cerita rakyat, lagu rakyat dan puisi Melayu tradisional. Unsur-unsur jenaka digunakan bukan sekadar sebagai hiburan tetapi media untuk mengkritik dan menyampaikan nasihat serta pengajaran kepada masyarakat. Masyarakat lebih mudah menerima kritikan atau teguran yang disampaikan dalam medium komedi berbanding dengan medium biasa yang berterus-terang. Filem-filem komedi mendapat sambutan kerana memberikan hiburan yang merupakan pelarian daripada realiti kemiskinan. Melalui filem komedi mereka tidak lagi menangisi kesempitan hidup tetapi turut mentertawakannya. Hal ini disentuh oleh Shaharuddin Maaruf dalam Awang Azman Awang Pawi & Khor, C.L. seperti berikut: “Genre lawak amat berkesan kerana massa Melayu sudah letih menangis, merintih dan berwajah cengeng. Menerusi komedi mereka tidak lagi merintih kemiskinan tetapi menganggapnya lucu.’’ (2005, p.141).
Dalam satu laporan di Berita Harian yang bertajuk ‘’Nasib Labu Labi-Filem Yang Banyak Pengajaran’’, P. Ramlee menyatakan bahawa filem tersebut tidak menceritakan kisah-kisah khayal semata-mata tetapi ‘’adalah kisah kenyataan yang sering terjadi dalam lingkungan orang-orang Melayu sendiri. Kiranya masyarakat mengingini cerita-cerita yang bercorak komedi maka baiklah kita buat filem itu tetapi haruslah disadurkan dengan berbagai tunjuk ajar yang boleh mendatangkan keinsafan kepada mereka. Saya berkali-kali hendak mencuba membuat filem yang lebih berat, tetapi melihat keadaan masyarakat yang tidak begitu senang menerima cerita-cerita berat, maka saya pula cuba mengalihkan pandangan saya ke jurusan lain yang tujuannya serupa juga-memberi tunjuk ajar kepada masyarakat Melayu.’’ (27 April 1963). Dalam satu laporan di akhbar yang sama bertajuk ‘’Filem Laksemana Do Re Mi Usaha Akhir P. Ramlee’’, P. Ramlee dipetik sebagai berkata ‘Tiap-tiap satu adegan untuk filem ini saya gambarkan tidak semata-mata bikin penonton ketawa, tapi bikin penonton insaf terhadap tipu daya manusia terhadap manusia sejak zaman bermula. Ketawa yang membawa kepada kesedaran dan kenyataan hidup yang dihadapi oleh manusia.’’ (Rendra Othman, 25 Februari 1973).
Untuk entri kali ini, saya kongsikan dua keratan akhbar Berita Harian bertarikh 24 November 1962 dan 13 Mac 1959. P. Ramlee juga tidak terlepas daripada gunting penapis filem. Jadi, bagaimana beliau dapat terus menyampaikan kritikannya? Anda jawablah sendiri.