PRANEE: INILAH SANDIWARA DUNIA

SIAPAKAH PRANEE DALAM
BUJANG LAPOK?
Apabila disebut Bujang
Lapok, yang pertama sekali kita ingat
ialah watak- watak Bujang Lapok itu sendiri, iaitu Ramlee, Aziz dan Sudin,
manakala tiga watak wanita yang utama ialah Che Normah, Zaiton dan Safiah. Tetapi saya tetap teringat kepada
satu watak wanita yang diberi nama Pranee.
Siapakah Pranee? Dia hanyalah watak sampingan. Babaknya tidak banyak. Namun
dia adalah antara watak menarik yang dicipta oleh P.Ramlee khusus untuk
menyampaikan kritik sosial.

”Tangannya berurat-urat!”

”Lebih baik kau minta maaf balik!”
Watak
wanita utama dalam Bujang
Lapok ialah Che Normah. Watak
Normah ialah watak yang mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi sebagai tuan
rumah yang prihatin dan suka membantu. Normah berada pada strata
masyarakat atasan dan dihormati oleh masyarakat sekeliling.
Pendapatnya didengar oleh orang lain, seperti kata Ramlee “Orang-orang di sini
semuanya hormat pada Che Normah.’’ Oleh
itu, dia turut menjalankan tugas kemasyarakatan termasuk berjaya meleraikan
kekusutan dan menyarankan beberapa langkah tindakan untuk menggerakkan
perjalanan hidup Zaiton dan Sudin serta Safiah dan Aziz. Kedudukan Normah telah
mengubah persepsi patriarki terhadap beliau. Contohnya Ramlee dan Pak Babjan,
iaitu ayah angkat Safiah, mengiktiraf
keupayaan Normah sebagai perunding dan pelindung.


wanita utama dalam Bujang
Lapok ialah Che Normah. Watak
Normah ialah watak yang mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi sebagai tuan
rumah yang prihatin dan suka membantu. Normah berada pada strata
masyarakat atasan dan dihormati oleh masyarakat sekeliling.
Pendapatnya didengar oleh orang lain, seperti kata Ramlee “Orang-orang di sini
semuanya hormat pada Che Normah.’’ Oleh
itu, dia turut menjalankan tugas kemasyarakatan termasuk berjaya meleraikan
kekusutan dan menyarankan beberapa langkah tindakan untuk menggerakkan
perjalanan hidup Zaiton dan Sudin serta Safiah dan Aziz. Kedudukan Normah telah
mengubah persepsi patriarki terhadap beliau. Contohnya Ramlee dan Pak Babjan,
iaitu ayah angkat Safiah, mengiktiraf
keupayaan Normah sebagai perunding dan pelindung.
![]() |
”Orang di sini semuanya segan dengan Che Normah!” |
Pemerian watak Normah ini dikira sesuatu yang
melawan arus pada masa filem-filem Melayu membawa kisah wanita lemah, terbelenggu dan teraniaya. P.Ramlee telah
mencipta beberapa watak wanita yang kuat yang digambarkan sebagai pemikir
dan penyelesai masalah. Antara yang
paling menyerlah ialah Puspawangi dalam Musang Berjanggut, Marjina dalam
Ali Baba Bujang Lapok, Che Normah dalam Bujang Lapok, dan Mastura
dalam Ahmad Albab. P. Ramlee turut mengkritik amalan patriarki dan
penindasan ke atas wanita. Dialog terkenal yang mengecam kekejaman lelaki ialah
dialog Sudin “Sanggup kau menggunakan kekerasan terhadap wanita!” dalam Seniman
Bujang Lapok.
![]() |
”Ente boleh tanam itu belacan punya pokok ka?” |
Dalam
Ali Baba Bujang Lapok, watak Marjina
dipaparkan sebagai watak seorang hamba yang memiliki kekuatan tersendiri. Dia
dipercayai oleh tuan rumah dari golongan atasan. Ali Baba dan ahli keluarganya
terselamat daripada dibunuh oleh Ketua Penyamun dengan kebijaksanaan Marjina.
Cerita ini memberi peranan penting kepada wanita malah seorang hamba sebagai
penyelamat nyawa orang lain. Skrip filem
ini bergerak dengan memperlihatkan bagaimana masalah telah diselesaikan oleh golongan wanita.
![]() |
”Itu belacan Pulau Pinang,Mak Enche!” |
Di samping watak-watak utama, kritik
sosial juga disampaikan melalui watak
sampingan. Watak sampingan yang menarik perhatian dalam Bujang Lapok ialah Pranee. Pranee
digambarkan sebagai wanita cantik yang berpura-pura melayan lelaki yang mahu
mendampinginya. Ramlee menemui Pranee dan mengajaknya minum-minum di sebuah
restoran dan selepas itu mengajaknya bersiar-siar di tepi laut. Pranee mengenakan helah yang dia terpaksa
pulang dahulu untuk mengambil kad pengenalan.
Sebenarnya itulah cara Pranee menipu lelaki. Mereka biasanya akan
memberi sedikit wang. Pranee akan berlari balik memberi wang tersebut kepada
ibunya dan apa saja makanan ringan yang boleh diseludup dari restoran. Dengan
ini Pranee digambarkan sebagai individu yang telah melawan kemiskinan dan
gejala-gejala sosial di kota dengan caranya yang tersendiri. Beliau mencari
wang dengan cara menipu pemuda-pemuda yang cuba menggodanya, termasuklah
Ramlee. Seperti yang telah dinyatakan, bandar merupakan simbol pembangunan sesebuah
masyarakat. Dalam kepesatan arus pembangunan itu, nilai-nilai tradisi telah
digantikan dengan nilai-nilai ‘moden’ yang berkonotasi negatif.
Pranee menggunakan peluang yang ada untuk
menipu lelaki-lelaki yang ditemuinya bagi membantu hidup keluarganya yang
miskin. Perbuatan ini tidak disukai oleh ibunya tetapi Pranee mempertahankan
perbuatannya, seperti dialog berikut:
MAK
PRANEE: Sudahlah Pranee! Kau janganlah menipu lagi!
PRANEE:
Mak, dalam dunia ni kalau kita baik hati, kita jujur…tak mahu cakap banyak, kita akan dipijak, Mak.
Tetapi kalau kita bohong,
menipu, meninggikan diri, orang pandang mulia pada kita, Mak. Sekarang Mak pilih satu antara dua…Mak
suka Pranee beginikah atau suka Pranee
menjualkan kehormatan Pranee?
MAK PRANEE: Dua-dua Mak tak suka!
Dialog berunsur falsafah ini memperlihatkan Pranee sebagai seorang yang
mempunyai pemikiran sendiri serta tajam pemerhatian terhadap perkara-perkara
yang berlaku di sekelilingnya. Pranee adalah seorang wanita yang tetap pendirian.
Watak Pranee boleh saja tidak diwujudkan
dan mungkin juga tidak menjejaskan naratif keseluruhan. Tetapi dialog yang dia
ucapkan adalah dialog yang sangat signifikan kepada isu kemiskinan yang digambarkan.
Watak Pranee mungkin kecil, tetapi dialognyalah yang paling besar dan
mengukuhkan mesej kritik sosial dalam Bujang Lapok.
Aksi-aksi yang telah dilakukannya
dan dialog yang diucapkannya membuktikan bahawa Pranee telah mengambil langkah
proaktif untuk menambahbaik hidupnya sekeluarga walaupun langkah tersebut
bukanlah langkah yang wajar mengikut budaya dan agama, iaitu menipu lelaki.
Seperti juga Safiah, Pranee berada dalam lingkungan kemiskinan yang mengehadkan
pilihannya. Walaupun beliau mungkin boleh melakukan pekerjaan yang lebih baik untuk
meneruskan kehidupan, tetapi pengarang mencorakkan perwatakan Pranee sebegitu
untuk menunjukkan sisi buruk kemiskinan dalam masyarakat. Perlakuan dan keberanian
ini adalah menyimpang dari adat dan
tradisi yang masih menebal pada masa itu.
Seperti di dalam beberapa buah filemnya yang
lain, P Ramlee membantah unsur dominasi
lelaki dan menyokong wanita yang cuba melepaskan diri dari sistem patriaki yang
berupa nilai-nilai dan pegangan tradisional yang tidak adil terhadap
wanita. Secara tidak langsung beliau menerapkan
saranan-saranan supaya wanita mempunyai kekuatan selaras dengan tuntutan zaman
tersebut. Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa wanita mempunyai ruang untuk
bersuara tanpa penindasan dan kezaliman patriarki.