NORKIAH HANUM DAN DWISTANDARD
Norkiah Hanum dalam filem Masam-masam Manis (1965) merupakan seorang gadis dari Kedah yang datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai penyanyi kelab malam. Dia berjumpa dan berkahwin dengan Shaari, seorang guru. Norkiah telah menyembunyikan kerjanya yang sebenar daripada ibu dan bakal suaminya kerana sedar bahawa pekerjaan tersebut dipandang rendah oleh masyarakat.
Setelah berkahwin, rahsia Norkiah terbongkar dan berlakulah pertengkaran atau konflik antara mereka. Konflik suami isteri turut memperlihatkan konflik kelas dan konflik gender dalam masyarakat. Shaari memarahi Norkiah dengan kata-kata penghinaan, seperti panggilan Perempuan Kabaret dan Low Class.
Masyarakat memandang rendah terhadap orang yang bekerja di kelab malam. Taraf atau standard mereka adalah rendah jika dibandingkan dengan bidang kerjaya lain, contohnya kerjaya guru. Dari awal lagi Norkiah sedia maklum bahawa pekerjaan yang dilakukannya dianggap kurang baik pada pandangan masyarakat. Apabila ditanya oleh pemandu teksi apakah pekerjaannya di Kuala Lumpur, Norkiah menjawab “Kerjanya kurang baik sikitlah, encik”. Pada ketika itu, Rosnah yang datang menjemputnya di stesen kereta api, cuba menutup dengan cepat-cepat menjawab “Kawan saya ni kerja jadi guru sekolah.’’ Pemandu Teksi juga memberi respon yang positif apabila mendengar jawapan Rosnah melalui dialog “Guru sekolah? Guru sekolah tu bagus, Cik.’’ Rosnah dan Norkiah terpaksa berbohong mengenai kerjaya sebenar mereka kerana mereka boleh menjangka reaksi masyarakat sekeliling ketika itu.
Dengan kesedaran itu Norkiah menyatakan kepada ibunya dan juga Shaari, iaitu pasangannya bahawa beliau bekerja sebagai seorang guru sekolah dewasa yang juga dikenali ketika itu sebagai sekolah buta huruf. Oleh itu, tidak timbul persoalan mengapa beliau keluar bekerja pada waktu malam. Kerjaya guru dipandang mulia dan mereka yang berkerjaya demikian sering dijadikan pilihan utama sebagai pasangan hidup atau untuk dijadikan kawan. Ini disokong oleh dialog Ibu Norkiah semasa Norkiah ingin memperkenalkan Shaari kepada ibunya; ‘’Hui…cikgu jugak! Baguslah sama-sama cikgu!’’
Shaari menjadi sinikal apabila mengetahui kerjaya sebenar isterinya ialah penyanyi kelab malam. Beliau bertindak menjauhkan diri dengan memasang kembali dinding di rumah sewa mereka. Dinding ini pernah memisahkan mereka semasa mereka masih berjiran dan kini memisahkan pula seorang guru yang dianggap terhormat dengan seorang wanita kabaret yang dianggap tidak bermoral.
Shaari memanggil Norkiah ‘’Perempuan kabaret’’ dan menyindir dengan pelbagai kata-kata yang menghina. Antaranya adalah dialog di bawah:
SHAARI: Bila keluar rumah, pakai kain tudung, pakai baju kebaya, jalan pakai selipar macam orang kampung. Sampai sana buka baju, dedahkan dada, terpekik terlolong, itu bini aku ka?
Shaari mengeluarkan cemuhan atau melabel norkiah dan Rosnah sebagai low class. Ini jelas dalam adegan pertengkaran antara watak Rosnah dengan Shaari ketika Shaari memasang kembali dinding rumah sewanya
SHAARI: Penyanyi ke, penari ke, perempuan kabaret semuanya sama! Low class!
Ketika bertengkar dengan Rosnah. Shaari membalas balik kata-kata Rosnah dengan ucapan berbelit-belit dan sukar difahami yang sebenarnya untuk menutup kelemahan hujahnya, seperti dialog berikut:
ROSNAH: Hei, cikgu! Bahasa apa yang cikgu marahkan saya ni?
SHAARI: Bahasa Jermanlah! Kau mana tahu? Kau tak sekolah!
Dialog ini dapat menegaskan tema dwistandard dalam skrip ini. Wanita yang bekerja di kelab malam seringkali dianggap tidak berpelajaran tinggi, mempunyai nilai-nilai moral yang tidak baik dan menduduki hierarki yang rendah di dalam masyarakat. Namun, Rosnah telah menyangkal tanggapan ini dengan mengucapkan dialog ‘’Cikgu ingat, orang yang terpelajar macam cikgu tu banyak high class? Kadang-kadang orang yang terpelajar macam cikgu tu lebih karat dari low class! Dialog ini bukan sahaja merupakan satu kritik sosial yang mempertahankan kedudukan pekerja kabaret tetapi juga satu penolakan terhadap diskriminasi gender.
Dialog ini menyerlahkan sikap dwistandard masyarakat antara guru dan pekerja tempat hiburan. Namun begitu pergeseran kelas yang lebih menarik dalam skrip filem ini ialah pergeseran antara gender. Shaari sebagai lelaki telah memarahi isterinya kerana bekerja di kabaret sedangkan beliau sendiri bermain muzik dan menyanyi di kelab malam sehingga mengabaikan kerjaya perguruannya. Hal ini ditegaskan melalui dialog watak Rashid (lakonan Mahmud June) yang bekerja di kelab malam yang sama dengan Norkiah dan Rosnah: “Cikgu Shaari juga orang seni. Sepatutnya dia mesti hargai seni orang lain.” Di sini jelas sikap dwistandard bila perempuan yang bekerja di kelab malam.
Shaari juga mempunyai kelemahan yang boleh dipertikaikan. Beliau dihormati semata-mata kerana bekerja sebagai seorang guru tetapi pada realitinya banyak tingkah-laku yang tidak mencerminkan etika seorang pendidik yang baik. Shaari turut bermain muzik dan menyanyi di kelab malam. Malah bakat seni dan kemahiran yang dimilikinya itu sudah sampai ke tahap ditawarkan merakam piring hitam. Contoh pelanggaran etika perguruan yang paling jelas ialah tabiat Shaari yang sering mengantuk dan tertidur di dalam kelas disebabkan kegiatan muziknya yang sering berakhir lewat malam. Apabila mula mengenali Norkiah, beliau tidak menghadiri mesyuarat guru-guru semata-mata untuk berjumpa kekasihnya di Zoo Negara.
Rumusannya, Masam-masam Manis bukan sekadar mengenengahkan diskriminasi yang dihadapi oleh pekerja sektor hiburan, tetapi juga diskriminasi yang dihadapi oleh wanita. Walaupun bekerja dalam bidang yang dianggap kurang bermoral oleh masyarakat, Norkiah menunjukkan teladan yang jauh lebih baik. Beliau mengirim wang kepada ibunya di kampung malah sanggup ‘tidak jumpa kawan di Zoo Negara’ sebab ingin menunaikan hajat ibunya yang mahu pusing-pusing Kuala Lumpur serta hajat adiknya yang mahukan baju koboi. P. Ramlee telah menjalankan tugasnya untuk membuka minda masyarakat dan membetulkan persepsi tertentu.
‘’Nak baju koboi tiga, pistol dua, kuda lapan!’’
(Masam-masam Manis)
Gambar-gambar:Tangkap layar filem Masam-masam Manis (Merdeka Film Studio, 1965)
*Sebarang ambilan daripada blog ini hendaklah diberikan kredit.