MENYUSURI STUDIO JALAN AMPAS
Catatan Sasterawan Negara Dato’ Dr.Zurinah Hassan:
Kota Singapura terus sibuk dengan lalulintas ketika saya sampai ke Jalan Ampas. Saya melihat ke kawasan yang dikepung pagar zink dengan perasaan sayu. Di sinilah pusara tempat berkuburnya satu kemegahan Melayu. Saya pun menulis sajak ini:
STUDIO JALAN AMPAS
Di Jalan Ampas, Singapura
Aku kembali ke kamar remaja
Bertampal bayang-bayang dan gambar bintang-bintang
Jins Shamsuddin, Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar hero kacak
Saadiah, Sarimah, Zaiton, Hashimah Yon yang segak
Dan P.Ramlee yang lebih hidup selepas mati
Di luar pagar ini jangan kau lupa
sindiran si jaga
“ Orang baru minta kerja kau sudah macam-macam kata”
Bagaimana bangsa boleh berjaya.
Di sini juga P.Ramlee melantunkan suara
Yang terhantar ke seluruh Nusantara
“Bahasa menunjukkan bangsa”
Pada sisa-sisa studio Jalan Ampas ini
Adalah runtuhan dan rangka-rangka mimpi
Tak kan kau dengar lagi
Bunyi tukangan membina rumah kampung
istana agung
atau balai rung
Tinggal pagar zink mengepung
Tiada lagi pereka set
Memanggil si tukang kayu
Kerana di sini tidak lagi perlu
menghidupkan imej Melayu.
Tanjung Katung airnya tidak lagi biru
Tempat kami berputih mata
Pantai dan kampung jangan dirindu
Kampung hilang ditelan kota.
Puisi di atas dapat dihayati melalui video ini:
Kami hanya dapat berlegar di luar dan beberapa kali melekapkan muka di pintu yang berkunci untuk cuba meninjau ke dalam. Kami menghalakan kamera handphone menangkap seberapa banyak yang dapat. Pelbagai gambaran datang menerpa. Terasa terbayang-bayang wajah seniman dan seniwati yang lalu lalang di sini. Namun yang paling menusuk hati ketika itu ialah adegan dari filem P.Ramlee Seniman Bujang Lapok. Dalam adegan itu, Ramlee, Aziz dan Sudin datang dengan penuh harapan untuk mencari kerja. Mereka datang dengan menaiki beca roda tiga dan berkongsi membayar tambangnya. Sesampai di pintu pagar mereka terpinga-pinga lalu mendekati pengawal keselamatan, atau jaga yang duduk di kerusi mengawasi tempat itu. Sudin menegur pengawal tersebut dengan memanggil “Hoi, hoi”.
Sapaan Sudin tidak dibalas tetapi kemudian terdengarlah suara si jaga menempelak Sudin:
‘’Nama saja Melayu. Sikit adab pun tak tahu! Orang adakah panggil hoi hoi hoi? Ingat saya ni apa? Batu ka? Kayu ka?’’
‘’Alamak, benggali tu bahasakan kitalah!’’
‘’Memang betul dia tu cakap. Kau tu mana ada bahasa! Panggil orang hoi hoi hoi! Bahasa menunjukkan bangsa tahu!’’
Inilah dialog yang menyengat. Sudin dikatakan tidak beradab dan berbudi bahasa.
Situasi ini memperlihatkan unsur ironi . Tiga watak utama, iaitu Ramlee, Aziz dan Sudin yang berbangsa Melayu ditegur oleh seorang yang bukan Melayu. Ungkapan ‘’nama saja Melayu, sikit adab pun tak tahu’’ menunjukkan bahawa pada pandangan semesta orang Melayu itu tinggi adab dan budi bahasa. Oleh itu adalah menghairankan jika seorang Melayu seperti Sudin tidak tahu berbahasa. Ramlee berpegang kepada “Bahasa menunjukkan bangsa’’ yang merujuk kepada peranan bahasa dalam memberi identiti dan jatidiri serta ketinggian adab penuturnya.
Catatan saya pula:
Dalam satu forum yang dianjurkan oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM pada November 2019, Datuk Ahmad Fauzee selaku panel forum telah menyatakan ”Nasib baik P.Ramlee membuat filem Seniman Bujang Lapok. Melalui filem itulah kita dapat melihat geografi Studio Jalan Ampas (milik Shaw Brothers).Bukan semua orang boleh masuk.”
Seniman Bujang Lapok diarah oleh P Ramlee pada tahun 1961. Itulah tahun-tahun yang bersemarak dengan perjuangan bahasa. Ketika itu Singapura menduduki tempat yang penting dan kukuh dalam aktiviti bahasa dan sastera. P Ramlee mempunyai hubungan yang rapat dengan penulis-penulis seperti Usman Awang yang masih ada di Singapura yang turut menyokong perjuangan Asas 50 untuk memartabatkan Bahasa Melayu.
Skrip Seniman Bujang Lapok turut mengkritik perkara-perkara yang menghalang kemajuan masyarakat Melayu ketika itu seperti mempercayai ‘batu hikmat’ yang boleh mendatangkan duit serta sifat iri hati sesama bangsa apabila bekerja di bidang yang sama. Syed Hussein Alatas dalam Syed Khairudin Aljunied (2005) menyatakan, masyarakat Melayu lebih berminat dengan upacara yang membazir dan tidak berkaitan dengan ajaran Islam. Mereka masih percaya kepada magis dan mistik untuk menyelesaikan masalah harian mereka, seperti yang dilakukan oleh watak Sudin apabila membeli ‘batu hikmat’ berharga 10 ringgit yang dipercayai boleh menyelesaikan semua masalah hidup mereka, terutamanya masalah kewangan.
Hal ini memperlihatkan fungsi pengarang satira seperti P. Ramlee yang prihatin dengan keadaan masyarakatnya tetapi menyampaikan teguran melalui jenaka. Menurut Syed Khairudin Aljunied lagi, skrip Seniman Bujang Lapok adalah contoh bagaimana P. Ramlee meningkatkan kesedaran intelektual rakyat serta mengukuhkan nasionalisme. Beliau bersetuju bahawa latar belakang dan pengalaman hidup P. Ramlee tergambar pada karya-karyanya.
”Mengapa kita bertiga tak mintak jadi orang wayang?”
(Seniman Bujang Lapok)
*Sebarang ambilan dari blog ini hendaklah diberikan kredit.
One thought on “MENYUSURI STUDIO JALAN AMPAS”