HANG TUAH DALAM NASIB DO RE MI
Salam Ramadan 1442 Hijriyah. Lama betul saya tak singgah blog ini. Tiba-tiba saya teringat pada babak pembukaan filem Nasib Do Re Mi (1966). Hampir 3 minit pertama babak ini menyebut nama Hang Tuah. Kebetulan lebih sedekad sebelum itu, P. Ramlee sendiri pernah memegang peranan Hang Tuah dalam filem arahan Phani Majumdar. Babak ini dimulakan di sebuah telaga, seperti berikut:
AR Tompel: Telaga apa ni? Besar…di tengah hutan pulak!
Ibrahim Din: Jangan-jangan telaga Hang Tuah tak?
P.Ramlee: Pigi dah! Kau ingat kita kat negeri Melaka ka?
AR Tompel: Hey, boleh jadi juga tau! Telaga Hang Tuah ada kat mana-mana! (tunjuk ke depan…teng teng teng) Ini betul rumah Hang Tuah!
P.Ramlee: Sudahlah! Takkanlah Hang Tuah nak berumah di tengah-tengah hutan gini. Ini tahun berapa?!
(Kemudian Datuk Hercules muncul) Ibrahim Din: Alamak…Hang Tuah!
Bagi saya, jika sesuatu subjek disebut lebih dari seminit dalam filem maka subjek itu penting. Sekurang-kurangnya untuk membayangkan sesuatu tema (foreshadow). Nasib Do Re Mi bukanlah filem tentang kepahlawanan Hang Tuah atau tentang keagungan Kesultanan Melaka. Kewujudan dan cara kematian Hang Tuah sendiri sering dipertikaikan sehingga sekarang. Pelbagai versi dikemukakan,antaranya termasuklah Dokumen Empayar Ryukyu, ‘Rekidai Hoan’, catatan peribadi Alfonso de Albuquerque dan Dokumen Ming Shi yang ditulis mulai bermula tahun 1403 oleh Maharaja Dinasti Ming,yang mengandungi perutusan ke Alam Melayu. Ada yang mengatakan Hang Tuah memang wujud, ada yang mengatakan Hang Tuah hanyalah satu pembohongan dalam naratif bangsa. Kisah Telaga Hang Tuah itu pun sampai sekarang masih ada. Banyak daerah mengaku sini ada Telaga Hang Tuah, situ ada Telaga Hang Tuah. Kot-kot depa baru korek lain mana kita tahu.
Tidak ada watak Hang Tuah pun yang muncul sehinggalah minit ke-46, iaitu dalam babak ‘Buku Sejarah Pak Maon’ yang sangat lejen itu. Pak Maon kononnya membaca buku sejarah panglima sambil mendendangkan syair Laksamana Hang Tuah, sehinggalah beliau terkantoi dengan isterinya. Pi tinggal ‘buku sejarah’ begitu sahaja atas meja memanglah senang kantoi, tapi nama pun filem komedi. Pak Maon berbohong dengan isterinya mengenai isi buku sejarah tersebut. Kemudian beliau berjumpa dengan Abu di pasar dan membeli 10 tiket ke Pesta Muda Mudi. Untuk ke Pesta Muda Mudi tersebut, Pak Maon membohongi anak isterinya dengan mengatakan yang beliau akan ke masjid untuk mendengar syarahan. Beliau berjanji untuk berjumpa dengan Abu semula di pasar. Ironinya,setelah berbohong banyak kali, Pak Maon mengucapkan dialog ‘’Mana Si Abu ni? Dia bohong dengan kita ke?’’
Akhirnya, saya mendapat satu kesimpulan kecil bahawa tema filem Nasib Do Re Mi, dari mula sampai habis ialah ‘PEMBOHONGAN’. Hang Tuah dan ‘pembohongan’ bukanlah benda baharu. Hang Tuah sendiri dikatakan menggunakan tipu muslihat untuk mengalahkan musuh, membawa lari Tun Teja,menyelamatkan Melaka malah selepas beliau dititah bunuh oleh Sultan, Bendahara Tun Perak turut berbohong kepada Sultan. Cover line. Saya pun rasa dialog P. Ramlee ‘’Takkanlah Hang Tuah nak berumah di tengah-tengah hutan ni!’’ berkait dengan kisah Hang Tuah disembunyikan dalam hutan di Hulu Melaka. ‘Hang Tuah Filem’ bercakap tentang ‘Hang Tuah Hikayat’.
Tontonlah semula Nasib Do Re Mi. Berapa banyak pembohongan yang anda jumpa? Antara yang saya senaraikan di sini;
- Babak Komeng menyamar sebagai agen insurans untuk merompak kedai emas.
- Babak ‘’takkanlah Pak Lebai nak menipu?’’
- Babak samseng-samseng Komeng menyamar sebagai perempuan di taman bunga untuk melanyak Lokman.
- Babak Do Re Mi buat-buat sakit supaya boleh terus duduk di hospital, sebab ada Nurse Milo.
- Babak Pak Maon dan buku sejarahnya.
- Babak Pak Maon ‘nak pergi syarahan di masjid’. The Real Penunggang Agama.
- Babak Isteri Pak Maon jawab panggilan telefon daripada Lokman pun satu pembohongan juga.
- Babak samseng-samseng balik habaq kat Komeng kononnya Nora dan Lokman menari peluk-peluk di Pesta Muda Mudi, walhal yang menari tu mak ayah Nora.
- Babak samseng-samseng rekomen Tok Bomoh untuk pikat Nora, sampai bagi testimoni nenek kahwin.
- Babak bomoh temberang. Punch line terbaik ‘’Temberang? Saya pun begitu juga!’’
- Babak tanam tangkal.
- Babak Nora jadi penyiasat ke rumah Komeng.
Jadi, kalau betul-betul nak cari semangat Hang Tuah pahlawan Melayu hingga ke akhir filem memanglah tidak akan jumpa. Cuma persoalan tentang kebenaran lawan pembohongan itu tetap berbangkit. Lagu Sua Sue Kemoning yang menutup babak permulaan seolah-olah ‘pesanan’ daripada P. Ramlee- ‘’Ini cerita rekaan semata-mata. Jangan ambil serius sangat. Tetapi tipu muslihat adalah sebahagian daripada hidup.’’
‘’Awat hangpa lari teruk sangat aih?’’
(Nasib Do Re Mi)
*Sebarang ambilan daripada blog ini hendaklah diberikan kredit.
*Gambar-gambar: tangkap layar filem Nasib Do Re Mi.
The uPVC fittings produced by Elitepipe Plastic Factory are highly resistant to corrosion, providing reliable and maintenance-free solutions for plumbing and irrigation systems. Elitepipe Plastic Factory