Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

ALI BABA: ANTARA ISU NAFKAH DAN REPUT TULANG

”Aisehman cantiknya bulan. Kalau malam begini memang seronok untuk berkasih sayang. Ya, Norsiah marilah kita dancing!”

Tetapi ajakan Ali Baba ditolak oleh isterinya, Norsiah yang mahu menghabiskan jahitannya. Pada pendapat si isteri,  menjahit lebih penting dan lebih berfaedah daripada bermesra dengan suami. Tambahan pula hatinya sedang marah kepada suami yang tidak mahu bekerja sehingga untuk makan pun mereka terpaksa meminjam gandum daripada abang si Ali, iaitu Kasim Baba.  Norsiah sangat malu bila suaminya ditempelak oleh  Kassim Baba dengan kata-kata ”Unta padang pasir pun takda malas macam kamu punya laki!” Ini menunjukkan bahawa Kasim Baba yang lebih dikenali sebagai seorang yang kedekut dan tamak itu pun tidak menyokong sikap malas adik lelakinya. Malah Kasim Baba turut membeli seorang hamba (Marjina) kerana kasihan melihat isterinya membuat kerja rumah seorang diri.

Ali Baba adalah contoh lelaki yang cuba menunjukkan dominasi patriarki. Beliau menuntut hak sebagai seorang suami dan menganggap isteri mesti melayan tuntutannya tanpa bantahan seperti dialognya “Tengoklah perempuan zaman sekarang. Memang tak mahu dengar cakap suamilah!’’  Ali Baba mahukan isteri mematuhi cakapnya sedangkan beliau sendiri tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk mencari rezeki.

Norsiah adalah wanita yang rasional. Beliau berpendapat Norsiah kesejahteraan rumahtangga tidak hanya terletak kepada kemesraan dan hubungan romantis. Hidup mesti berpijak kepada realiti. Semuanya tidak berguna seandainya keperluan asas dalam kehidupan seperti makan minum tidak dapat disediakan. Suamilah yang bertanggungjawab menyediakan semua keperluan keluarga.

Dialog di antara Norsiah dan Ali Baba ini menyentuh persoalan kemasyarakatan, iaitu isu kekeluargaan, hubungan suami isteri dan yang paling khusus; isu kewajipan suami sebagai pencari  nafkah yang utama.  Hal ini adalah seperti yang telah dijelaskan oleh Islam, sebagaimana maksud Hadith Riwayat Muslim: ‘’Kewajipan kamu (suami) pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik’’.

Kewajiban ini juga termaktub dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia yang menetapkan bahawa nafkah paling asas ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Suami wajib menyediakan keperluan ini walau apa pun kedudukannya, selaras dengan maksud  Firman Allah s.w.t. di dalam Surah At-Talak ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya” .

Dalam pertengkaran mereka, Norsiah dan Ali Baba menyuarakan pandangan masing-masing tentang peranan dan tanggungjawab suami isteri.  Bagi Norsiah, kalau Ali Baba tidak dapat menjalankan peranan sebagai suami, lebih baik “kanda jadi perempuan, dinda jadi laki-laki”. Dialog ini diucapkan selepas sahaja Ali Baba berkata  “Hantarlah kanda balik ke rumah mak bapak kanda”. Dialog Ali Baba ini bertujuan menimbulkan keadaan lucu sesuai dengan sebuah filem genre komedi, kerana Ali Baba mengucapkan dialog yang melanggar kelaziman rumahtangga.

Kelakuan Ali Baba juga disanggah oleh Kassim Baba.  Beliau juga marah kepada Ali Baba yang tidak menjalankan kewajipan kepada isteri dan rumahtangga. Bagi Kasim Baba kemiskinan Ali Baba berpunca dari  sifat malasnya. Norsiah menyetujui pandangan Kassim Baba mengenai sikap suaminya. Norsiah tidak selamanya berdiam diri. Cemuhan Kasim Baba menyuntik keberaniannya untuk bertindak, bermula dengan menolak ajakan untuk ‘dancing’, menuntut supaya cakapnya didengar dan kemuncaknya Norsiah sendiri mengambil kapak dan tali untuk memotong kayu di hutan ketika suaminya masih berpeluk tubuh.

Apabila Ali Baba masih tidak mahu mencari kerja, Norsiah, telah mengucapkan dialog ‘’Kalau kanda tidak mahu cari kerja,biarlah adinda keluar dari rumah ini. Dialog ini menggambarkan dua perkara. Pertama, Norsiah mahu keluar daripada belenggu kemiskinan, kerana kemiskinan itu boleh dihapuskan jika Ali Baba memperbaiki sikap malasnya. Kedua, Norsiah menggunakan haknya sebagai isteri yang tidak mendapat cukup nafkah, sesuai dengan Hadith Riwayat Muslim: ‘’Kewajipan kamu (suami) pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik’’. Norsiah kesal kerana Ali Baba tidak menggunakan ruang dan peluang yang ada pada mereka untuk membaiki hidup, walaupun terhad. Islam turut memberi ruang kepada wanita untuk menyuarakan pandangan serta kemusykilan demi kebaikan untuk diri dan keluarga. Nah, dakwah gaya P.Ramlee. Siapa kata P.Ramlee tak sayang kaum wanita?

”Tercungging-cungging, terbalik-balik,tergolek-golek!”

(Ali Baba Bujang Lapok)

*Kredit gambar: Tangkap layar filem Ali Baba Bujang Lapok (MFP, 1960)

           

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *