Sembang P.Ramlee

Blog Pemikiran Filem Filem P.Ramlee

17 MINIT PERTAMA PENDEKAR BUJANG LAPOK

Selamat hari raya aidilfitri untuk tahun 2023 Masihi dan 1444 Hijriyah. Kali ini saya akan bercerita sekali lagi tentang filem Pendekar Bujang Lapok (1959) dan akan menggunakan kaedah pembingkaian. Cerita sebenar Pendekar Bujang Lapok adalah keseluruhan babak di penambang (lebih kurang 17 minit).  Saranan tentang kapitalis dan pemberontakan rakyat cukup kuat pada 17 minit pertama ini. (Bingkai-bingkai diambil daripada tangkap layar Astro Prima).

Bingkai 1: Kali pertama samseng-samseng penambang muncul di layar, mereka sudah menunjukkan kelakuan yang tidak menyenangkan, korup dan suka memaki-hamun.

Bingkai 2: Penampilan pertama Wak Mustar; ikut beratur seperti penumpang lain tetapi beliau lebih tenang. Wak Mustar tidak menunjukkan ketakutan berlebihan berbanding dengan penumpang-penumpang lain apabila diherdik oleh para samseng.

Bingkai 3: ”Sudahlah, Wak di sini memang banyak samseng-samseng…’, kata seorang penumpang kepada Wak Mustar. Penumpang tersebut melihat dengan mata tersurat. Namun Wak Mustar membalas ”Pigilah! Ini semua samseng taik minyak!” Wak Mustar ‘membaca’ manusia secara tersirat. Penonton ketika ini belum tahu lagi siapa Wak Mustar sebenarnya dan P. Ramlee sebagai pengarah sedang membina perwatakan beliau.

Bingkai 4: Rahim seorang samseng, cuba mencuri buah epal kepunyaan Ramlee tetapi Ramlee menghalangnya. Rahim pun berkata ”Oh, kau tiga orang samseng ya!” Ada unsur ironi di sini. Siapa lebih samseng sebenarnya?

Bingkai 5: Setelah tiga kali Wak Mustar bertanyakan gilirannya untuk naik sampan dan setelah sekian lama beratur dalam barisan, akhirnya Wak Mustar keluar dari barisan dan terus berdepan dengan Tauke Penambang. Kesabaran beliau yang sekian lama ditindas telah habis dan kini beliau bangkit mempersoalkan haknya sebagai penumpang.

Bingkai 6: Inilah syot kegemaran saya dalam sekian banyak filem P. Ramlee. Aziz cuba bangun untuk melawan ‘kapitalisme’ yang ingin menzalimi Wak Mustar tetapi dihalang terlebih dahulu oleh Ramlee. Syot inilah yang menjadikan Pendekar Bujang Lapok bukan sebuah komedi semata-mata.

Bingkai 7: Walaupun cuba dikasari oleh para samseng, Wak Mustar tetap berdiri utuh dan berani bersuara kembali kepada Tauke Penambang. Mengapa orang-orang lain di situ tidak seberani beliau?

Bingkai 8 & 9: Orang-orang lain di penambang hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa. Bagaimanakah mereka dapat menghentikan penindasan dan penguasaan orang lain ke atas diri mereka?

Bingkai 10: Ketika Tauke mengarahkan samseng-samseng ‘mengerjakan’ Wak Mustar di belakang penambang, pintu ditutup supaya peristiwa itu tidak dapat dilihat. Namun apabila pintu dibuka dan Wak Mustar yang muncul dalam keadaan baik-baik sahaja, semua orang di situ terperanjat. Para samseng lari bercempera dan orang ramai menyambut beliau seperti seorang wira. Ketika ini alunan seruling yang dimainkan oleh Ramlee juga terhenti tiba-tiba kerana terkejut. Cuba dengar semula nanti.

Bingkai 11 & 12: Sarip sebagai ketua samseng akhirnya akur dengan permintaan Wak Mustar untuk naik sampan. Nada suaranya terketar-ketar berbanding sebelum ini kerana orang tua yang ditindasnya itu berjaya menewaskan samseng-samseng lain. Tauke Penambang yang menyangka hanya dirinya yang betul dan berkuasa juga terpaksa akur kepada Wak Mustar. Akhirnya seorang tua yang dipanggil Wak dan sudah lama beratur di penambang itu memperkenalkan dirinya; ”Ini Pendekar Mustar Pinang Sebatang!” Beliau tidak berbuat demikian dengan samseng-samseng yang lain tetapi mempamerkan kemuncak kehebatannya di hadapan orang yang paling berkuasa di situ. Ini cara Wak Mustar mengatakan kepada samseng lain; ”Kau orang bukan level aku!”

Bingkai 13 & 14: Ketika Wak Mustar memperkenalkan dirinya sebagai Pendekar, penonton belum melihat lagi bukti kukuh kependekaran beliau. Bingkai 13 menunjukkan betapa terkejutnya Ramlee, Sudin dan Aziz melihat keadaan dua orang samseng yang diarahkan untuk memukul Wak Mustar. Mereka beroleh keberanian dan sedikit harapan untuk mengubah keadaan. Mereka mesti berguru dengan Pendekar Mustar dan cuba mengikut jejak beliau untuk mendapatkan sampan.

Bingkai 15 & 16: Tiga Bujang Lapok beroleh motivasi dan mengajak orang ramai untuk memberontak. Mereka cuba melawan samseng-samseng tapi dalam keadaan yang tidak teratur.

Bingkai 17: Seorang Benggali yang ada di penambang itu menunjukkan kehandalannya dengan melempar samseng-samseng ke dalam laut. Beliau berjaya mencampak samseng-samseng biasa sebanyak dua kali. Namun apabila cuba mencampak ketua samseng, iaitu Sarip, beliau telah gagal kerana tidak menggunakan kaedah yang betul. Akhirnya beliau yang tercampak ke laut. Apakah yang pengarah cuba sampaikan di sini?

Bingkai 18: Tauke Penambang meminta tolong untuk diselamatkan. Namun orang ramai mencampakkan beliau ke dalam laut. Kapitalis yang menaungi sistem samseng ini tak perlu ditolong.

Bingkai 19: Akhirnya setelah melawan tanpa sebarang kaedah dan ilmu, hanya dengan sedikit keberanian, tiga Bujang Lapok berjaya merampas sebuah sampan dan menyeberang sungai. Kekalutan yang berlaku di penambang ditinggalkan. Mereka berjaya berhijrah dalam usaha untuk mendapatkan guru. Perhatikan juga susunan ketiga-tiga watak yang menaiki perahu untuk ke ‘seberang’. Watak pertama ialah Ramlee, diikuti Sudin dan akhir sekali Aziz. Mungkin ini kebetulan tetapi di luar filem, beginilah juga susunan siapa dahulu ‘menyeberang’ ke alam sana. Alfatihah dan terima kasih kepada semua seniman yang telah menghibur serta mendidik kami.

”Ros, ini pencuri ka?”

”Ya,Pak. Pencuri besar, Pak!”

(Pendekar Bujang Lapok)

 

*sebarang ambilan daripada blog ini hendaklah diberikan kredit

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *